Skip to main content

Frequency

Miss the best frequency ever.



Cemburu melampau bawa keburukan

Zamanuddin Jusoh Cetak
Cemburu adalah fitrah dan tabiat yang mesti ada dalam diri manusia yang pada asalnya tidak tercela, selama ia tidak melampaui batas. Cemburu yang melampaui batas, boleh menjerumuskan seseorang ke dalam pelanggaran syariat Allah.

Cemburu adalah sikap positif dalam naluri setiap manusia yang sukar dibendung. Malah ia sifat semula jadi bagi mengimbangi sikap manusia terhadap pasangan dan saingan masing-masing.
Maka lahirlah persaingan sihat yang akan memotivasikan seseorang supaya mencapai tahap kecemerlangan. Malangnya apabila melebihi kadar kebiasaan, maka ia akan menjadi negatif dan membawa keburukan.


Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ada sifat cemburu yang disukai Allah SWT dan ada yang dibenci, sifat buruk sangka itu pun ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci-Nya. Cemburu disukai Allah ialah perasaan cemburu terhadap masalah yang patut dicurigai dan pasti. Cemburu dibenci Allah ialah cemburu terhadap sesuatu yang tidak patut diragui dan tiada kepastian. Buruk sangka yang disukai Allah ialah buruk sangka terhadap dirinya ketika dalam pertempuran untuk menjana semangat. Buruk sangka yang tidak disukai Allah ialah buruk sangka yang bersarang dalam jiwa seseorang.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie).

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah cemburu dan seorang mukmin juga cemburu, dan cemburu Allah itu ketika seseorang hamba-Nya melakukan sesuatu diharamkan ke atasnya.”

Tidak terkawal

Apabila sifat cemburu ini sampai kepada kemuncak dan tidak terkawal, maka lahirlah perasaan benci dan resah di mana syaitan berperanan mencipta permusuhan. Inilah yang berlaku kepada iblis terhadap Adam kerana cemburu penghormatan diberikan Allah SWT kepada Adam. Akibatnya, iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya di neraka.
Begitu juga peristiwa Qabil dan Habil sehingga berlakunya pertumpahan darah antara dua anak Adam itu. Imam al-Ghazali menyebut, manusia yang kuat hasad dan cemburu apabila diceritakan kesenangan orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya keriangan.

Cemburu yang terlarang bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya. Ini juga bermakna kita tidak reda pada takdir dan ketetapan Allah SWT. Akhirnya ketenangan tidak akan menghampiri dan amalan akan terbatal.

Keduanya adalah sifat dengki yang menghapuskan amalan kebajikan. Sifat ini adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan.

Dia akan berusaha menjatuh atau menggagalkan, seterusnya menghilangkan nikmat diberikan kepada orang lain sehingga pesaingnya jatuh dan gagal.

Apabila kedua sifat mazmumah ini bertapak dalam diri seseorang, usaha selanjutnya untuk menghilangkan nikmat itu adalah melakukan sihir. Sihir difirmankan oleh Allah SWT dalam kitab suci al-Quran di mana ia wujud sejak zaman Nabi Musa dan Nabi SAW.

Ulama terkenal, Ibnu Sirin berkata: “Aku tidak pernah hasad kepada sesiapa pun dalam urusan dunia, kerana apabila ia adalah calon ahli syurga, bagaimana mungkin aku hasad padanya dalam urusan dunia yang tidak ada nilainya di syurga nanti. Jika dia adalah calon ahli neraka, maka bagaimana mungkin pula aku hasad padanya dalam urusan dunia sedangkan dia akan masuk neraka?”

Untuk membendung kedua sifat ini supaya tidak menjangkau kepada peringkat lebih buruk adalah dengan memperbanyakkan tasbih dan zikrullah kerana ia adalah kalimah penyelamat. Bersedekah dan menderma secara rahsia supaya hatinya mendapat didikan baik serta tahap keikhlasan tinggi.

Beristighfar sekadar termampu serta memohon keampunan Allah SWT kerana ia berasakan dosa-dosanya terlalu banyak dan berat untuk ditanggung. Bertilawah al-Quran kerana ia memberi cahaya dan perlindungan terhadap pembaca serta ahli keluarganya.

Kesimpulannya, sebagai umat islam yang beriman dengan keesaan Allah SWT tidak wajar mendekati amalan dan perkara yang boleh merosakkan akidah serta mengundang syirik kepada Allah SWT.

Kita hendaklah yakin dengan ketentuan dan pemberian Allah SWT terhadap hambanya kerana keyakinan ini akan menambahkan kekuatan iman terhadap Allah SWT. Segala-galanya akan membawa ketenangan hidup serta menambahkan kekhusyukkan dalam ibadat.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)


Comments

Popular Posts