Tuesday, March 22, 2011

The Malay Cronicle

Masa awal-awal tengok cerita ni, aku rasa macam tengok cerita orang putih pasal terus-terusan bersembang cakap omputih. Lepas lepas tu baru nampak ke multi language dalam cerita ini. Apapahal pun, tahniah atas pencapaian KRU.


Sebelum-sebelum itu, ada juga yang kritik kepada kesan CGI yang keterlaluan kartunnya. Betul la. Ada macam haram sikit. Terutama bahagian akhir tu.

Ada juga yang tak pueh hati dengan watak orang jahat yang memiliki gigi yang cantik. Tu aku tak de hal sangat.

Seperti adaptasi ikon heroik yang di ambil dari manuskrip yang lainnya, ini aku rasa kira boleh la di cerna.Bagi yang sudah meneliti mana mana manuskrip asal sebelum melihat filem adaptasi itu, pastinya menjangkakan sesuati seperti yang difikirkannya. Seperti cerita Dragon Ball Evolution (adaptasi dari manuskrip Akira Toriyama - Dragon Ball), filemnya menghampakan.

Adaptasi dari manuskrip sejarah mungkin lain sikit. Ada tekanan fakta. Oleh itu, direktornya seharusnya berkerja keras. Seperti konfilk yang berlaku ketika pementasan kisah sejarah bertajuk 'Natrah', pengolahan pemahaman direktor terhadap cerita sejarah mungkin tidak dipersetujui oleh orang-orang dari bidang sejarah. Direktor mungkin hendak menonjolkan bahagian-bahagian yang hendak ditonjolkan dengan sedikit tokok tambah.

Kecewaan dalam cerita epik Puteri Gunung Ledang dari segi pemaparan imej Panglima mungkin dapat diubati dalam cerita HMM ini.

Hikayat Merong Mahawangsa sudah pun banyak cerita tentangnya dengan pelbagai versi. Tentang dia adalah keturunan maharaja cina, dan moyang kepada Hang Tuah, dan macam-macam lagi. Pencatat sejarah dimasa lalu memang tidak mencatat secara objektif ketepatan fakta dari segi masa dan lainnya kerana fokusnya ialah cerita itu sendiri. Ia nya subjektif.

Bagi pengamal pembudayaan Melayu, juga mengharapkan filem HMM ini membawa panji identiti bangsa melayu yang hebat. Seperti pergerakkan silat dan lainnya. Seni tempur Merong Mahawangsa kelihatan lebih mirip kepada Tomoi Siam (bahagian awal babak berlawan). Tapi itu mungkin gambaran Direktor tentang perkembangan seni bela diri bahagian utara semenanjung yang masih belum di pisah-pisahkan.

Sahabat saya yang berasal dari Klate berkata "Dalam perang tak boleh bunuh orang macam tu" ketika melihat babak Kamawas kena bunuh. Spontan saya jawab "Time tu dia belum Islam lagi". Ya, latar masanya ialah ketika sebelum kedatangan Islam lagi. Itu terus menjawab kenapa tiada tag line 'Daulat Tuanku'. Kerana 'Daulat' itu asal dari perkataan 'Daulah'. Perbendaharaan kata melayu mungkin belum ada perkataan Daulat ketika itu.

Kehalusan pertukangan kayu tamadun Melayu dalam cerita ini pada aku, tidak tertonjol. Set pengambaran hanyalah kayu-kayu yang diikat. Binaan rumah juga adalah seperti 'biasa-biasa' saja. Kecuali keris yang dihasilkan mempunyai hulu yang baik dan cantik. Ukiran dewa-dewa pada hulu keris semamangnya berlaku sebelum kedatangan Islam. Selepas kedatangan Islam, hulu seperti itu diringkaskan dan dinamakan Awang Demam. Aku pernah pegang keris macam tu yang harganya ialah 40k.. (wow!)

Aku rasa sepatutnya bumbung atap rumbia masyarakat yang hidup berhampiran dengan garisan khatulistiwa yang menerima hujan tidak sepatutnya bergitu. Bumbung patutnya lebih solid dan tertutup. Rasa tak lojik pulak kawasan selalu hujan dengan bumbung macam tu.

Persoalan bahasa penghubung sepatutnya bahasa melayu mungkin silap, sebab bahasa melayu menjadi franca lingua pada area abad ke 14. Mungkin orang rom bertutur dalam bahasa inggeris. Dan kalau si Xing Xing bersembang dengan Permaisurinya dengan bahasa cina, mungkin itu yang sepatutnya. Anggapkan je la bahasa inggeris itu translation.

Satu hal yang amat di persetujui, Merong ialah orang yang hebat berlayar pada zaman itu. Ada yang kata Melayu itu asal dari perkataan 'Melayar' iaitu orang yang suka berlayar. Dalam puisi 'Perjuangan belum selesai' oleh Dr Mahathir ada menyebut bahawa bangsa melayu adalah bangsa yang hebat berlayar. Cina dan Rom memiliki kekayaan dengan mempunyai kapal-kapal yang besar untuk berlayar, tetapi kepakaran untuk berlayar mungkin dimiliki oleh orang-orang di semenanjung emas. Kebolehan multi language Merong Mahawangsa dan Puteri Raja Cina memang dikagumi.

Ok la. Nak kondem memang power. Tapi kata Ipe, dari 5 bintang dia kata nak kasi 3 bintang. Tapi aku rasa 4 bintang pun ok apa. Aku tak rasa diorang bersenang lenang buat kerja ni. Mungkin selepas ini akan membuka mata pengarah filem tempatan untuk membuat lagi filem-filem yang berunsurkan sejarah memandangkan subjek sejarah menjadi subjek wajib lulus dalam SPM selepas ni.

HMM ni mungkin bukan untuk orang yang mengharapkan kehebatan CGI dan susunan cerita epik yang standard antara bangsa. Mungkin untuk mengetahui tentang penghayatan orang lain (KRU punya versi) tentang manuskrip sejarah cerita melayu.

Mungkin lepas ni cerita Walinong Sari ke, atau Raja Besiung ke, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (dengan nafas baru) atau bikin balik cerita Hang Tuah. Ngam. Cerita zaman-zaman P Ramlee tu banyak boleh dibikin balik apa. Trend macam gini lagi baik dari trend cerita seram.



baca review lain
http://rambomadonna.blogspot.com/2011/03/hikayat-merong-mahawangsa-malay.html



Di bawah ni aku sertakan satu artikel berkenaan HMM;

Hikayat Merong Mahawangsa....
.. ..
Saya amat tertarik dengan isen yang dipaparkan oleh saudara Indera, yang menceritakan perihal burung Geroda dan Jentayu seperti yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Saya juga tertarik dengan persoalan yang Hakim Dirani timbulkan, iaitu, siapakah Raja Sulaiman? Adakah baginda adalah Nabi Allah Sulaiman atau hanya sekadar Raja biasa yang bernama Sulaiman? Soalan soalan ini menggerakkan hati saya untuk meneliti kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang saya miliki bagi merujuk kembali perkara ini. Dan nah! Ternyata terdapat jawapan di dalamnya. 

Namun begitu saya agak terpempan bilamana membandingkan dengan kitab di tangan saya dan isen yang saudara Indera. Ternayata terdapat banyak perbezaan. Namun kita biarkan kelainan versi itu dahulu. Isen kali ini saya mahu paparkan serba sedikit tentang Hikayat Merong Mahawangsa dan siapakah Raja Sulaiman yang dimaksudkan di dalam versi Indera.


Pengenalan

Tidaklah diketahui secara tepat bilakah hikayat ini pertama kali ditulis. Kerana naskah naskah melayu jarang memuatkan sebarang maklumat yang penting itu walaupun dalam mukadimah maklumat terbabit ada menyatakannya.

Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu waktu hari baginda keluar ke penghadapan...

Merujuk kepada mukadimah ini maka Winstedt telah mencadangkan hikayat ini tertulis sekitar tahun 1612. Namun para sejarawan Kedah telah membuat rekonstruksi susunan keturunan raja raja Kedah yang lengkap dengan tarikhnya. Berdasarkan ini Sultan Muazzam Shah telah memerintah Kedah antara tahun 1179-1236. Pun begitu sekitar tahun ini adalah agak awal untuk penulisan berkembang. Ini berdasarkan kepada Undang undang Pelabuhan yang telah tertulis pada 1035 Hijrah bersamaan 1625 dimana aktiviti penulisan agak pesat sekitar ini, yakni pada abad ke 17.

Hikayat Merong Mahawangsa amat berkait rapat dengan negeri Kedah kerana disitulah bermulanya Kerajaan Beraja ataupun Kesultanan Melayu.


Versi

Terdapat 3 versi yang saya ketahui untuk Hikayat Merong Mahwangsa. Iaitu :

1. Versi Rj Wilkinson
- versi ini adalah di dalam bentuk buku, bercap batu dalam tulisan Jawi. Ia terdiri daripada 113 halaman berukuran 13"x8.4".
- salanan versi ini telah di tulis oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin, di Pulau Pinang dan tamat disalin pada 2 Rejab, 1316 bersamaan 16 November 1898.
- cetakan batu ini dibuat oleh Kim Sik Hian Press, Nombor 78, Penang Street dan di salin serta diterbitkan atas kehendak RJ Wilkinson, Esquire Acting Inspectr of Schools, Strait Settlements.
- besar kemungkinan terbitan ini dibuat untuk kegunaan di sekolah sekolah dan merupakan salinan yang agak tersebar dan masih ada dalam simpanan beberapa orang tertentu. Satu salinan yang sama tersimpan di Muzium negeri Kedah, di Alor Setar.

2. Versi Aj Sturrock
- Diterbitkan Di dalam bentuk JRASSB, nombor 72, Mei 1916.
- dicap dalam tulisan Rumi.
- tiada sebarang maklumat terperinci mengenainya.

3. Versi CO Balgden (Ms. Maxwell 21 dan 16)
- adalah salinan mikrofilem daripada naskah asal yang kini disimpan di perpustakaan Royal Asiatic Society di London.
- manuskrip ini adalah salah satu manuskrip yang dihadiahkan oleh W. Maxwell kepada Royal Asiatic Sciety, dan disebut sebagai Maxwell 16.
- hikayat ini ditulis di dalam tulisan Jawi, panjang 149 halaman dan tiada angka halaman.
- terdapat satu kesan tandatangan Maxwell dan catatan ....Singapore.... 1884 di dalam Maxwell 16.
- Maxwell 16 bertulisan Jawi dan sepanjang 207 halaman.
- pada halaman 207 terdapat maklumat tertentu. Kemungkinan tarikh akhir penyalinan adalah 2 September 1889 kerana Maxwell dikatakan telah memperolehinya semasa beliau berada di Semenanjung.


Terdapat perbezaan di antara ketiga tiga versi di atas. Dimana Versi Maxwell mempunyai perenggan. Pokok dasar cerita adalah sama namun dalam Versi Maxwell cerita ceritanya lebih panjang dan meleret. Perbezaan perbezaan yang terdapat di dalam ketiga tiga versi di atas merangkumi aspek :

1. kata daerah

2. ejaan tulisan jawi
3. perbezaan nama dan tempat

Saya rasa tidak perlulah saya terangkan lebih lanjut mengenainya. Namun suka saya paparkan sedikit petikan dari salinan Wilkinson dan Ms Maxwell 16 untuk kalian lihat perbezaannya.

Versi Wilkinson :
...Sebermula maka tersebutlah perkataan Pulau Langkapuri itu selama peninggal perang Seri Rama dan Andunan jadi sunyilah pulai itu tiada siapa siapa duduk...

Versi Ms Maxwell 16
... Alkisah maka tersebutlah perkataan segala perintahnya Pulau Langkapuri itu selamanya peninggalan pada tatkala perang Seri Rama dengan Handuman itu, jadi sunyilah Pulau Langkapuri itu, maka tiadalah siapa yang mendiami pulau itu.


Siapakah Raja Sulaiman?

Jika anda biasa membaca Hikayat ini, akan di dapati permulaan ceritanya akan bermula dengan Bismillah dan puji pujian kepada Allah dan Muhammad pesuruhNya. Didalam semua versi yang disebut di atas juga melakukan perkara yang sama.

Di dalam versi Indera ada menyebut tentang Raja Rom dan perkara ini juga sama di dalam versi di tangan saya (RJ Wilkinson). Sebelum saya meneruskan perlu diketahui bahawasanya kerajaan Nabi Allah Sulaiman berada bersama sekitar kerajaan Rom memerintah (sebagaimana yang saya periksa dengan Ustaz Hafiz).

Di dalam versi RJ Wilkinson, telah disebut :
... Bahawa pada ketika itu datanglah seekor burung geroda yang terlalu amat besarnya turun mengadap Nabi Allah Sulaiman, sembahnya "Ya Nabi Allah, hamba dengar warta Raja Rum ada menaruh seorang anak laki laki dan Raja ....China.... ada menaruh seorang anak perempuan.

.... Maka sabda Nabi Allah Sulaiman "hai burung geroda demi Tuhan yang
menjadikan aku adapun jodo pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu
sekalipun tiada yang dapat menceraikan ia"


Dan juga kita maklum, bahawasanya hanya Nabi Allah Sulaiman sahaja yang mampu berbicara dengan binatang. Di dalam versi di tangan saya ada menyebut perihal Jin dan bagaimana Nabi Allah Sulaiman memberi perintah kepadanya dan dituruti tanpa ada persoalan.

Saya percaya sekiranya saudara Indera memanjangkan ceritanya akan terdapat perintah Raja Sulaiman menyuruh sepasukan Jin menghantar kembali Pagoda terbabit ke Negeri Cina.

Jadi berdasarkan faktor faktor ini, maka saya berpendapat Raja Sulaiman yang termaktub di dalam isen Indera dan di dalam kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya merujuk kepada manusia yang sama.

Saya akan paparkan kisah ini nanti di dalam bahagian kedua. Tunggu ya!

Sekian.

Versi ini saya petik dari kitab Hikayat Merong Mahawangsa milik saya. Ianya adalah versi RJ Wilkinson. Perlu diketahui, saya telah mengolah sedikit gaya bahasa demi untuk anda, pembaca mudah memahaminya walaupun sebenarnya ianya lebih sedap dibaca dalam konteks bahasa yang asal yakni gaya bahasa melayu lama. Dan saya ringkaskan cerita ini
agar tidak meleret dan menimbulkan kebosanan kepada kalian. Selamat membaca!



*****


Pada zaman dahulukala, yakni semasa zaman pemerintahan Nabi Allah Sulaiman, terdapat satu pulau yang dipanggil Pulau Langkapuri yang didiami oleh seekor Geruda yang asalnya dari cucu Maharaja Dewata. Banyaklah kesaktian yang terdapat pada burung Geruda ini dan digeruni setiap makhluk yang terbang dan melata di bumi. Maka pada suatu hari, datanglah seekor burung Rajawali menemui burung Geruda itu.


"Adakah tuan hamba beroleh khabar bahawasanya Raja Rum itu beroleh seorang anak laki laki? Sekarang ini ia hendak meminang anak Raja Benua China.” Kata burung Rajawali.

“Dari mana engkau memperolehi khabar ini?” soal Geruda.


“Hamba beroleh khabar ini daripada Kakaktua, dia yang melihat utusan dari Benua Rum menuju ke Benua China.” Jelas Rajawali.


“Ini sesuatu yang mustahil. Nantilah, aku mengadap Nabi Allah Sulaiman untuk membatalkan perkara ini.” Kata Geruda.


Maka terbanglah Geruda itu mengaras awan dan berasaplah seketika dunia ini. Dan sampailah ia di hadapan Nabi Allah Sulaiman.


“Ya Nabi Allah, hamba dengar khabarnya Raja Rum mahu menikahkan Puteranya dengan Puteri dari Benua China. Namun pada fikiran hamba ianya bukanlah jodoh yang sesuai.” Sembah Geruda.

“Hai Geruda, demi tuhan yang menjadikan aku, adapun jodoh pertemuan itu samaada di dalam batu atau kayu sekalipun, tiada siapa yang dapat menceraikkannya.” Sabda Nabi Allah Sulaiman.


“Ya Nabi Allah, izinkan sahaja hamba melakukannya. Sekiranya hamba gagal menceraikan keduanya, maka undurlah hamba daripada bawah lagit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala manusia.” Sembah Geruda.


Maka dengan melihat kedegilan Geruda itu, Nabi Allah Sulaiman mengizinkan dan mempersetujui syarat yang Geruda sendiri utarakan. Setelah mendapat keizinan dari Baginda, terbanglah Geruda ke Benua China. Hatta setelah sekian lamanya ia terbang, maka sampailah ia ke Benua China dan dilihatnya segala persiapan dan nyata benarlah seperti yang di khabarkan kepadanya. Terlihat ia sang Puteri sedang duduk di taman, lalu disambarnya tuan puteri bersama dengan tiga orang dayang dan di bawa ke Pulau Langkapuri. Dan di simpan mereka di dalam sebuah mahligai. 


Perihal Raja Rum, sedang itu baginda dihadapai oleh segala raja, menteri para pengawal, hulubalang, sida sida, bentara dan biduanda sekelian penuh sesak di balai paseban agung, bermesyuarat tentang penghantaran anak baginda ke Benua China untuk dikahwinkan. Dan diam di dalam kelompok raja raja yang hadir, sahabat baginda Raja Rum itu yang bernama Raja Merong Mahawangsa.

“Hai saudara hamba, hendaklah saudara pergi ke Benua China menggantikan hamba membawa Putera kita untuk dikahwinkan.” Titah Baginda Raja Rum.

“Baiklah tuanku, barang yang dititahkan itu, patik laksanakan tuanku.” Sembah Raja Merong Mahawangsa.


Maka belayarlah sekelian anak menteri, pengawal, hulubalang dan 40 anak raja raja di dalam satu bahtera yang besar. Sedang Raja Merong Mahawangsa di dalam satu bahtera yang lainnya. Bertaburanlah bahtera, kapal kapal dan perahu kecil hingga memenuhi laut menuju ke Benua China.

Setelah sekian lama mereka belayar, maka sampailah ke laut Kuala Changgung yang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Kelinggi. Sedang belayar itu maka dengan tiba tiba gelaplah matahari. Datanglah kelam kabut ribut petir guruh dengan hebat dahsyat. Bagaikan sepohon angin rbut yang besar rupanya. Maka Raja Merong Mahawangsa pun segera menyiasat sambil memegang senjatanya.Terlihat olehnya yang datang itu bukanlah ribut taufan tetapi hanyalah seekor burung Geruda.

Adapun si Geruda setelah dipastikan angkatan dibawahnya itu adalah dari kerajaan Rum maka menjadi amat marahlah ia lalu ia datang menyambar. Raja Merong Mahawangsa menarik busur anak panahnya yang bernama Ayun Ayunan itu ke udara. Bergemuruhlah bunyinya bagai halilintar membelah angkasa.

Maka segala jenis meriam di atas bahtera jua habis di halakan kepada Geruda, namun sedikit tidak memberi apa kepadanya. Lalu Geruda membalasnya dengan mendatangkan guruh, hujan, angin, ribut dari sebelah selatan menghala ke utara. Demi melihat kesaktian Geruda, Raja Merong Mahawangsa mengambil panahnya yang bernama Ayun Ayunan yang hujungnya merah seperti api dan dilepaskan ke arah ribut yang mendatang. Lalu terpaculah gunung menahan ribut yang diterbitkan oleh Geruda itu. Larilah burung Geruda itu setelah berjaya merosak 3 buah bahtera, saat itu malam pun tiba.

Keesokan harinya, setelah dipastikan tiada kehadiran Geruda itu, maka belayarlah bahtera yang tinggal hingga sampai ke Kuala Tawai. Dengan tiada semena mena muncullah Geruda itu dengan ribut dan taufan, kilat sabung menyabung. Maka Raja Merong Mahawangsa pun mengambil panahnya yang bernama Berana Pura itu, bernyala nyala api dihujungnya dan dilepaskan ke udara. 



Maka bergemuruhlah bunyi menerbangkan segala hujan, ribut dan taufan. Dan terlihat Geruda sudah membinasakan 3 lagi bahtera di dalam kelam kabut itu. Dan segeralah Raja Merong Mahawangsa itu memanah sekali lagi menggunakan Berana Pura itu. Maka bergemuruhlah angkasa dibelah anak panah yang menuju ke arah Geruda. Demi dilihat oleh Geruda, maka ia pun mengibaskan sayapnya maka jatuhlah anak panah itu ke dalam laut. Lalu dengan pantas ia menyerang hingga rosak binasa enam buah bahtera lagi. Dan larilah Geruda itu setelah diamati sukarnya membinasakan seluruh angkatan Raja Rum itu.

Maka belayarlah semula angkatan kerajaan Rum itu hingga tiba ke laut Kuala Parit. Setiba di situ, datanglah Geruda itu sekali lagi menyerang. Dan seballah hati Raja Merong Mahawangsa. Lalu dicapai panahnya yang bernama Pusar Sempani Gembira dan dilepaskannya ke angkasa. Seketika muncullah hantu syaitan datang menyerang Geruda itu. Tahulah Geruda itu panah yang dilepaskan bernama Pusar Sempani Gembira. Lalu dikirai kiraikan dengan sayapnya dan menerkam ke arah angkatan Raja Rum dan menyambar tiga kapal kecil dan menghambat hantu syaitan.


Manakala segala bedilan meriam dan panah yang datang ibarat hujan lebat sahajalah bila mengenai Geruda. Sedikit tidak memberi kesan. Geruda itu pun menempik dengan azamatnya hingga hilang sekelian hantu syaitan.

Marahlah Raja Merng Mahawangsa melihat hal yang sedemikian. Lalu dibalasnya dengan satu lagi anak panah dan munculah Jentayu menghambat Geruda itu. Maka berlawanlah keduanya menyambar dengan paruh, berkibar kibaran dengan sayapnya, terlalu amat dahanam gemuruh bunyinya. Terlalu hairanlah sekelian yang melihat. Maka disemburlah oleh Geruda dari mulutnya api yang bernyala nyala dan terbakarlah Jentayu lalu hilang. Hingga malam jualah pertarungan itu dan Geruda pun beredar kepenatan.

Setelah berhari hari berlalu, maka belayarlah mereka kembali hingga ke Kuala Murib. Setelah lama kelihatanlah Pulau Salang. Maka tinggalah angkatan Raja Merong Mahawangsa mengambil air, sedang angkatan anak Raja Rum terus menuju hingga ke Tanjung Hujung Salang dan akhirnya tiba di Pulau Langkapuri. Dan terlihatlah oleh Geruda kedatangan angkatan tersebut. Datanglah ia dengan ribut taufan menyerang angkatan tersebut. Habis karamlah segala kapal yang ada. Tiada satu kapal hatta yang kecil sekalipun yang tinggal. Gembiralah Geruda itu sangkanya pasti matilah anak si Raja Rum itu. Maka ia pun terbanglah menjauh.

Hatta angkatan Raja Merong Mahawangsa menurut angkatan Raja Rum jauh dari belakang. Terkejutlah baginda melihat keadaan rosak binasa itu. Lalu diselamatkan yang masih hidup. Di cari anak Raja Rum merata tiadalah berjumpa. Belayarlah baginda ke timur hingga sampai ke Pulau Jambul yang di diami kaum gergasi. Lalu dibinalah kota parit di situ. Dan di binalah istana dengan balainya yang terlalu amat besar indahnya dan diberi nama Langkasuka. Maka duduklah Raja Merong Mahawangsa di situ sambil mencari cari anak Raja Rum. Hingga mashyurlah baginda di situ, ramailah rakyat jelata berpindah ke situ dari bulan ke bulan tahun ke tahun memerintahlah baginda dengan adil dan saksama.

Tersebutlah kisah si anak Raja Rum itu, yang bergantung di atas papan yang sekeping. Tiada makan dan minum berhari hari lamanya hingga kurus kering tubuhnya hingga di hinggap kapang dan keritip di seluruh badannya. Di bawalah dia oleh ombak hingga jatuh di celah batu di pantai Pulau Langkapuri dengan letih lesu dan lapar dahaganya.

Tiadalah Geruda ketika itu kerana ia sedang mencari makan. Lalu turunlah Puteri Benua China bersama dayangnya ke tepi laut mencari ketam lalu terjumpalah dengan anak Raja Rum. Lalu jatuh kasihanlah si Puteri Benua China lalu di selamatkan anak Raja Rum itu dan disorokkan dia di dalam sebuah gua demi mengelak dari diketahui oleh Geruda. Hari demi hari bulan demi bulan di jaga baiklah anak Raja Rum oleh si Puteri bersama dayangnya, maka sihat segar kembali dia, setelah itu demi melihat sesama sendiri maka jatuh cintalah keduanya. Setelah diketahui latar belakang masing masing maka makin erat lagilah lakunya.

Pada suatu hari, maka terbanglah Geruda sampai mengaras awan menuju kepada tempat Nabi Allah Sulaiman.

“Hai burung Geruda, apa khabarnya janji yang telah engkau katakan. Dapatkah engkau melaksanakannya?” Sabda nabi Allah Sulaiman.

“Ya Nabi Allah sudalah hambamu ini kerjakan.” Sembah Geruda.

Lalu diceritakan kepada baginda perihal bagaimana ia menculik Puteri Benua China hingga ia bertarung dengan Raja Merong Mahawangsa dan akhirnya membunuh anak Raja Rum itu. Maka tertawalah Nabi Allah Sulaman mendengar cerita itu.

“Kalau kalau mereka masih hidup bagaimana?” tanya Nabi Allah Sulaiman.

“Jikalau hidup anak Raja Rum itu dan bertemu dengan Puteri Benua China, hamba akan mengotakan janji hamba. Tiadalah hamba berani berdusta kepada Nabi Allah.” Sembah Geruda.

Nabi Allah Sulaiman tersenyum mendengarnya. Lalu diperintahkan kepada raja jin Harman Shah supaya membawa kesemua mereka ke dalam sebuah peti untuk di bawa mengadap di hadapannya. Lalu berangkatlah Harman Shah bersama 100 menterinya melaksanakan perintah Nabi Allah Sulaiman. Di masukkan Puteri Benua China bersama dayangnya disertai dengan anak Raja Rum ke dalam peti lalu di bawa mengadap Baginda Nabi Allah Sulaiman.

Nabi Allah Sulaiman menurunkan perintah supaya keluarlah kesemua yang di dalam peti itu. Maka keluarlah kesemuanya sambil menundukkan kepala dan duduk menyembah kepada Nabi Allah Sulaiman.

“Hai Geruda, siapakah lelaki ini?” tanya Nabi Allah Sulaiman sambil menunjuk ke arah anak Raja Rum.

Maka dengan itu, gentarlah Geruda kepada Nabi Allah Sulaiman serta malunya ia tiada terperi lagi. Lalu bersabdalah nabi Allah Sulaiman;

“Hai segala raja raja dan menteriku bangsa yang baik baik, hendaklah engkau dan kamu sekelian ketahui demi tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekelian di dalam empat perkara itu janganlah sekali kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada tuhan sekelian alam.

Pertama rezeki, sedikit atau banyak pada sehari semalam itu tiadalah segala makhluk hendak tentukan, sekelian dengan janjiNya juga.

Kedua perkara yang memutuskan rezekinya, seperti yang akan datang mara atau maut, hendak itu pun tiadalah boleh seseorang jua pun daripada makhlukNya hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua.

Ketiga, perkara jodoh pertemuan sesuatu makhlukNya, jikalau berhimpun seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang di jadikan Allah taala, hendak menceraikan, tiada dapat menceraikan melainkan dengan kehendakNya jua.

Keempat, perkara penceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh melainkan dengan sekelian itu pun dengan janjiNya jua.”

Lalu datang menyembahlah Geruda meminta keampunan kepada Nabi Allah Sulaiman. Dan diperintahkan oleh Baginda kepada Geruda supaya berpergian ke tempat yang jauh daripada manusia. Diperintahkan kepada Geruda utnuk menetap di laut yang bernama Kalzum yang tiada akan dihampiri manusia. Maka terbanglah ia ke situ.

Nabi Allah Sulaiman kemudiannya memerintahkan dibuat suatu surat di dalam bahasa cina menceritakan segalanya yang telah berlaku. Diperintahkan juga untuk menyampaikan berita kepada Raja Rum supaya dapat dipanggil kembali Raja Merong Mahawangsa. Sesudah itu nabi Allah memerintahkan raja jin Harman Shah supaya membawa seribu tentera menghantar kembali Puteri Benua China bersama tiga dayangnya dan anak Raja Rum ke Benua China untuk dikahwin sebaimana layaknya.


Sekian


Cerita asal sebanyak 24 m/s.

bacaan lain 


ada juga yang sudah pun membuat lagu untuk HMM. lihat disini

No comments:

Qasyira Noristiqa

Zaman baru nak up dulu, antara band yang cuba dibuat adalah Qasyira Noristiqa yang berpusatkan vibe ekspresi lirik dari Enal dengan susunan ...