Sang Kancil dan Sang Gajah di Sarawak


Dihikayatkan pada zaman dahulu ada seekor gajah mencabar binatang-binatang rimba di Sarawak. Setelah beberapa perlawanan, habislah semuanya dikalahkan oleh sang gajah. Sang gajah berkata jika tiada yang mampu mengalahkannya, semua bumi Sarawak akan menjadi jajahannya.

Kemudian keluarlah sang kancil dari kelompok yang ramai itu.
"Ehh.. belum lagi sang gajah. Belum menang lagi." kata sang kancil. Dengan marahnya sang gajah berkata "Mengapa engkau berkata begitu?" "Engkau belum menang lagi. Engkau belum berlawan dengan tuan kami. Pasti engkau tidak dapat mengalahkannya". Geramlah sang gajah. "Aku akan mencabar tuan engkau! Panggil dia kemari". Sang kancil berkata "Eh, kau pasti kalah. Lagi pun dia duduk di kayangan. Engkau tidak akan boleh berjumpa dengannya".

"Ah. Engkau berbohong" kata sang gajah tidak percaya.



"Baiklah, engkau cabut sehelai bulu engkau, aku akan bawa kepada tuan kami sebagai tanda cabaran" kata sang kancil.

Sang gajah bersetuju. "Baiklah, ambil ini".

Sang kancil pun beredar memasuki celah-celah hutan ingin bertemu tuannya.

"Engkau biar betul kancil. Setahu aku sudah habis jaguh-jaguh kita dalam hutan ini berlawan dengan sang gajah itu?" kata si monyet.

"Bertenang. Aku tahu apa aku buat" kata sang kancil. Sang kancil memandang sekeliling dan belakangnya. "Baiklah, sudah tidak nampak. Sang landak! Sang landak! Mintak duri badan engkau satu"

"Engkau nak buat apa pula? Nah, ambillah" kata sang landak sambil menghulurkan duri badannya. Kemudian, kembalilah sang kancil kepada sang gajah.

"Wahai sang gajah, tuan aku bersetuju untuk berlawan denganmu. Sebentar lagi dia akan datang. Ini tuan aku mengirimkan bulu romanya" kata sang kancil sambil menghulur duri landak itu.

Maka terkejutlah sang gajah. Sedangkan bulu roma tuan sang kancil sahaja seperti itu. Bagaimana pula kegagahan badannya. Menggigillah sang gajah lalu berlari ke utara borneo bersama kuncu-kuncunya hingga ke Sabah.

Kerana peristiwa itulah menyebabkan bumi sarawak tiada seekor pun gajah sehingga kini kerana semuanya telah berpindah ke Sabah.

Dihikayatkan oleh Cikgu Johnicol. Cikgu PJK SMKB.

Comments

Popular Posts