Dapatkanlah percakapan dari orang yang ahli dengannya

Cakap jangan bohong
Janji jangan mungkir
Jangan pecah amanah
pesanan YMGU

“Sampaikanlah dariku, sekali pun satu ayat, dan berbicaralah mengenai Bani Israil sesukamu. Barangsiapa yang mendustakanku secara sengaja, maka hendaklah ia persiapkan tempat duduknya di api neraka.” (HR.al-Bukhari)



Ilmu Dunia : Jangan Berbicara Jika Kau Bukan Ahlinya!

Apabila berbicara tentang ilmu dunia tentu sahaja ia ditujukan kepada ilmu-ilmu yang dihukumkan fardhu kifayah, yakni kewajipan hanya ditanggung oleh sebahagian daripada satu kelompok biarpun seorang sahaja yang memikul tanggungjawab tersebut seperti sains, matematik, ekonomi, perakaunan, fizik, astrofizik, astronomi, falsafah, perniagaan, undang-undang sivil, biologi, kimia, kedoktoran, kewangan, peradaban, sejarah, bahasa asing (bahasa Jepun, Perancis dan sebagainya) dan seterusnya. Begitu banyak pelabelan terhadap sesuatu bidang itu kursus itu ilmu dunia kerana ia berteraskan untuk pembangunan dalam umat untuk mencapai kemajuan negara dalam merentasi perkembangan teknologi serta menyahut cabaran globalisasi yang penuh dengan daya saing dalam melaksanakan tamadun yang serba moden.

Apapun, tiadalah larangan untuk mempelajari ilmu-ilmu tersebut walaupun ia dikategorikan sebagai ilmu dunia kerana khilaf di kalangan para ulama' tentang penerimaan dalam keutamaan sama ada fardhu kifayah atau fardhu 'ain yang lebih afdhal. Tentang ini tidak perlulah dibahaskan dengan panjang kerana itu bukanlah objektif yang ingin kita capai. Namun, disimpulkan bahawa Al-Ustaz Abu Ishak al-Isfiraiini, Imam al-Haramain dan ayahnya menerima bahawa fardhu kifayah lebih afdhal daripada fardhu 'ain manakala pendapat di sisi kebanyakan ulama' Syafi'yyah adalah fardhu 'ain lebih afdhal daripada fardhu kifayah. Perbahasan ringkas itu bolehlah dirujuk di dalam buku "Manhaj Ilmu Fiqah & Usul Fiqah" karya Abdul Azib Husain dan jika ingin lebih panjang lebar bolehlah dicari kitab-kitab karangan ulama' yang muktabar.

Walaubagaimanapun, khilaf ini tiadalah ia menghalang seorang Muslim untuk menceburkan diri dalam melibatkan diri dalam pembelajaran ilmu dunia kerana ilmu inilah yang akan menyumbangkan kebaikan pada masa akan datang terhadap masyarakat dalam membina sebuah masyarakat yang pintar dalam menghadapi suasana yang sentiasa berlumba-lumba dalam bersaing mencapai membentuk sebuah organisasi yang berkualiti. Cumalah apa yang disarankan oleh para ulama' hendaklah terlebih dahulu menguasai fardhu 'ain dahulu agar dapat menolak syubhat-syubhat yang akan bakal melanda diri mereka dan memahamkan tentang kewajipan dan gaya hidup yang sepatutnya dilakasanakan oleh setiap mukallaf. Dengan memahami ilmu fardhu 'ain, terselamatlah ia dari kebengkokan akibat membuat pemilihan yang salah dalam berhadapan dengan situasi yang penuh dengan celaru dan kebingungan.

Namun demikian, masih ada sahaja yang tidak bersetuju pengelasan sama ada ilmu tersebut patut diletakkan dalam ilmu dunia atau ilmu akhirat, dikenali juga sebagai ilmu agama. Kerana ilmu dunia yang dinyatakan tadi disebut serta diceritakan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sepertimana pembuktian teori big bang yang membenarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiya' (21) ayat 30 merupakan salah satu cabang dalam ilmu astronomi dan astrofizik, Surah Al-Mukminum (23) ayat 14 yang membuktikan kejadian bayi itu merupakan salah satu cabang dalam ilmu biologi, Surah An-Naml (27) ayat 88 yang membuktikan kebenaran formula yang mahsyur diperkenalkan oleh Albert Einstein, E=MC2 yang merupakan salah cabang ilmu fizik, Surah Al-Baqarah (2) ayat 282 yang menceritakan tentang hutang piutang, perkara ini termasuk dalam ilmu perakaunan, Surah al-Baqarah (2) ayat 275 telah menghalalkan oleh Allah akan berjual beli dan mengharamkan Allah atas riba' merupakan suatu cabang dalam ilmu perniagaan, Surah At-Taubah ayat 29 yang menceritakan tentang kutipan jizyah, dalam pengetahuan tentang kutipan inilah ia termasuk dalam cabang ilmu ekonomi, hadis berkenaan lalat yang dicelupkan lalu dibuang itu termasuk cabang dalam ilmu kimia dan ilmu biologi dan banyak lagi ayat yang Al-Quran dan As-Sunnah yang membenarkan kebenaran di dalam ilmu dunia.

Maka di antara sebab-sebab itulah mengapa ada antara sebahagian ilmuan tidak menyukai penglabelan tentang sepatutnya ilmu itu diklasifikasikan. Sesungguhnya apa sahaja yang berkaitan dengan al-Quran dan as-Sunnah maka difahami masyarakat kita bahawa ia adalah berkait rapat dengan agama. Di dalam kedua sumber ini menceritakan tentang ilmu yang diklasifikasikan sebagai "dunia", maka mengapa tidak ia dikategorikan sebagai ilmu agama atau dikenali sebagai ilmu akhirat? Apakah kerana ia merupakan ilmu tidak ada perkaitan dengan ciri-ciri Islam diletakkan ia ke dalam ilmu dunia padahal telah banyak ayat-ayat Allah serta sabda-sabda Rasulullah SAW yang mulia itu menceritakan tentang ilmu-ilmu yang kalian katakan ia ilmu dunia? Di mana keadilan kita terhadap ilmu Tuhan Yang Maha Mengetahui yang menyediakan hambanya begitu luas sekali sehingga hamba-hambaNya tidak mampu untuk mengaut sebanyaknya?

Inilah persoalan yang ditanya oleh mereka yang menolak pembahagian ilmu dunia dan ilmu akhrat, dikenali juga sebagai ilmu agama. Jikalau dikatakan ia tidak penting pun, ilmu-ilmu ini juga termasuk dalam fardhu kifayah yang wajib salah seorang atau sebahagian daripada mereka mempelajarinya. Maka, apakah sesuatu fardhu itu dikatakan tidak penting lagi hanya sia-sia jika mempelajari? Jika tiada yang menuntutnya akan ia maka jadilaha ia fardhu 'ain bagi setiap mukallaf dalam kelompok tersebut, maka tidak seharusnya berkata ilmu dunia ini tiada membawa apa-apa kepentingan terhadap dunia dan akhirat. Ketahuilah bahawa fardhu itu  akan membawa kebaikan kepada umat Islam sendiri sama ada terhadap individu mahupun dalam masyarakat.

Mereka yang menolak ini mungkin sahaja tidak menerima konsep sekularisme yang dijaja oleh pemikiran Barat dan orang-orang kafir dan munafiq yang memisahkan agama dalam kehidupan seharian, yakni dunia dan agama. Agama hanyalah ditempat tertentu, waktu tertentu, suasana tertentu, cara tertentu dan begitu juga agama. Hal ini memang tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran sekularisme yang menjadi suatu pemikiran yang paling berpengaruh dalam menjajah minda manusia supaya umat Islam terus menjauhi agama sebagai gaya hidup seharian dan praktikal amalan kehidupan.

Tetapi sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa untuk mengetahui sama ada ilmu itu dikategorikan sebagai ilmu dunia atau akhirat, maka dilihat pula ke mana pembawakan ia terhadapnya. Asal keseluruhan ilmu tersebut adalah ilmu agama atau ilmu akhirat, namu ilmu ini jika dibawa untuk manfaat dalam agama dan akhirat maka jadilah ia ilmu agama atau akhirat, manakala jika ilmu itu digunakan untuk mendapat kepentingan dunia sahaja maka ia adalah ilmu dunia. Untuk melihat contoh dari konteks pemahaman masyarakat, bahawasnya jika ilmu Al-Quran, Hadis, Fiqh, Tasawwuf, Balaghah, Nahu, Saraf dan sebagainya (kerana ilmu ini dikatakan ilmu akhirat atau agama dalam pemahaman masyarakat kita) dibawa untuk kepentingan dunia semata-mata sahaja, maka jadilah ia ilmu dunia dan jika ilmu sains, matematik, bisnes, falsafah, bahasa asing dan sebagainya dibawa untuk manfaat agama dan akhirat maka jadilah ia ilmu dunia dan akhirat.

Matlamat akhirat dan dunia tidak boleh bersatu, menafkahkan harta ke jalan Allah SWT dengan riak menjadi amalan dunia dan membantu orang bukan Islam dengan niat yang ikhlas adalah amalan akhirat, maka mengapa tidak pembawakan ilmu menjadi faktor apakah ilmu itu bakal menjadi ilmu dunia atau akhirat? Begitulah persoalan mereka dan mereka juga berdalilkan firman Allah SWT di dalam Surah Asy-Syura (42) ayat 20.:
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Maksudnya : "Barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat, Kami akan tambahkan keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang berkehendakkan keuntungan di dunia, Kami akan tambahkan kepadanya sebahagian daripadanya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat".

Dengan itu, ketahuilah kita bahawa tidak sewajarnya kita memandang remeh terhadap ilmu yang diletakkan sebagai ilmu dunia kerana manfaatnya begitu besar sehingga diceritakan Allah SWT dan Rasul-Nya akannya dengan begitu banyak sekali. Tidak patut kita memperlekhkan mereka yang mendalami ilmu "dunia" itu kerana mereka itulah bakal penyumbang untuk pembangunan negara. Jika tiada yang pakar dalam ilmu kimia, siapa pula yang akan membantu kaum Muslimin yang lain ketika mereka terdesak memerlukan ubatan? dan jika tiada yang pakar dalam ilmu jurutera, siapa pula yang akan membinakan masjid dan madrasah yang bakal melahirkan generasi umat Islam yang berkaliber dalam mewarnai corak kehidupan Islam yang terindah?. Begitulah setersunya dan ia tidak akan diperolehi melainkan mereka yang ahli di dalam menguruskan praktik dalam ilmu tersebut ke dalam amalan seharian.

Kalaulah ilmu dunia ini begitu kecil skopnya dan hanya dipandang ringan dengan sebelah mata serta hanyalah remeh temeh sahaja, maka apalah gunanya ilmuan Islam terdahulu mempelajari ilmu-ilmu yang kalian katakan ia ilmu dunia tidak menyumbangkan apa-apa untuk agama dan akhirat dan membuat kajian-kajian yang begitu mendalam sehinggakan diterima method atau hasil kajian itu diguna pakai oleh ilmuwan kita hari ini sama ada yang Islam mahupun bukan Islam. Lihatlah betapa besarnya sumbangan ilmu ini kepada agama yang mengharumkan umat Islam sehinggakan terkelu lidah mereka yang menentang Islam untuk memberikan alasan-alasan yang hipokrit serta ucapan-ucapan yang cuba mencemarkan imej Islam!.

Ya, mungkin kerana mereka yang mempelajari ilmu dunia itu tidak mendalami ilmu fardhu 'ain atau agama, maka tidak sepatutnya juga meremehkan mereka lalu menghalang mereka untuk terus menuntut ilmu dunia itu. Tetapi, disarankan untuk menasihatinya agar menguasai fardhu 'ain lebih dalam dan memberikan galakan untuk mengetahui serba sedikit tentang cabang-cabang agama. Jika kalian menghalangnya secara terus, maka jika ia mempelajari ilmu doktor, mungkin sahaja pada masa akan datang tiada lagi doktor yang boleh diganti hanya sebab kalian menghalangnya!.

Adalah tidak munasabah mengatakan bahawa ilmu dunia menurut kefahaman kalian menyebabkan jauhnya masyarakat daripada agama dan menyebabkan mereka lalai mengingati Allah SWT. Jika begitu dibilangnya, maka sia-sialah apa yang dipelajari ilmu tokoh ilmuwan yang terdahulu dalam mempelajari ilmu yang dilabelkan sebagai ilmu dunia. Memikirkan kebesaran Allah SWT yang tergambar dalam al-Quran dan as-Sunnah tentang pembuktian para saintis dalam membenarkan ayat-ayat Tuhan Yang Maha Bijaksana menyebabkan ramai di antara mereka rebah sujud tersungkur apabila terkejut kaku melihat kebenaran di dalam al-Quran dan as-Sunnah dan sebahagian daripada mereka yang dahulunya tidak beriman menjadi insan yang beriman kerana kagum melihat kebenaran dalam Al-Quran dan sebahagian dari mereka yang beriman bertambah imannya kerana terlalu takjub melihat kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam semesta serta menyusun aturnya dengan rapi tanpa percanggahan yang melanggar antara satu sama lain.

Nah! Apakah masih dikatakan ilmu dunia itu tidak mendekatkan diri kepada Allah SWT, padahal begitu banyak yang terlinang air matanya kerana terpegun menghayati kehebatan Allah SWT dalam mentadbir alam semesta. Tidak akan difahami kecuali mereka yang benar-benar mendalami ilmu yang dikelaskan sebagai ilmu dunia. Benar kata kalian sebahagiannya masih ada yang ingkar untuk menerima kebenaran yang telah ditunjukkan dengan pelbagai hujah, namun itu bukanlah sebab yang membolehkan kamu untuk memperlekehkan mereka yang mempelajari ilmu dunia yang kalian mengatakan ia adalah sia-sia dan tiada faedah.

Tiadalah inginku menyindir sesiapa tetapi agak kecewa terhadap sebilangan masyarakat yang merasakan 'alim dalam ilmu agama menyindir serta merendahkan mereka yang mempelajari ilmu dunia. Seolah-oleh merasakan merekalah yang terbaik dan dijamin akan kesejahteraannya padahal ilmu agama yang mereka pelajari itulah akan menjadi ilmu dunia jika mereka itu mengggunakan hanya untuk mengaut kepentingan dunia. Kemuliaan seseorang tidaklah semestinya bersandarkan luasnya pengetahuan seseorang dalam memahami ilmu agama dan kehinaan seseorang tidaklah diukur dengan penguasaan seseorang itu terhadap ilmu dunia, tetapi apa yang dinilai akan Allah Ta'ala hanyalah takwa sahaja yang akan menjadi markah untuk Dia mengadili segala-galanya.

Pelajarilah ilmu dunia walau sedikit buat ahli agama kerana ia boleh menjadi sumber yang digunakan untuk memperkuatkan hujah ketika menjawab syubhat yang dipertanyakan oleh mereka yang menolak Islam dan membuktikan kebenaran bahawa Islam itu adalah agama yang benar supaya ahli-ahli yang mempelajari ilmu dunia itu lebih dekat dengan agama serta mempermudahkan urusan dakwah dalam kalangan ahli-ahli yang berada di medan ilmu dunia yang semakin hari semakin tenggelam dalam lembah kelalaian. Walau ia hanya fardhu kifayah sahaja tetapi mengetahuinya serba sedikit buat ahli agama adalah yang terpuji kerana bahawasanya ada sebilangan penuntut ilmu yang begitu kehausan dengan ilmu pengetahuan, maka dengan pengetahuan walau sedikit terhadap ahli agama, maka ia mampu menjadi insipirasi terhadap penuntut ilmu tersebut untuk lebih dekat mengamalkan suruhan agama.

Dan mempelajari ilmu agama tidaklah semestinya hanya di sekolah-sekolah pondok, madrasah, sekolah agama, universiti agama, masjid atau surau dan mempelajari ilmu dunia tidaklah semestinya hanya di sekolah kebangsaan, universiti swasta dan kerajaan atau sebagainya. Asalkan di tempat itu mempunyai guru yang dipercayai akan ilmunya dan diakui akan kebenarannya serta tidak dapat dinafikan akan kehebatannya maka pengkhususan tempat bukanlah faktor untuk dirimu tidak mahu menuntut ilmu kerana dirasakan bukan pada tempatnya. Namun begitu, tempat-tempat yang dinyatakan tadi adalah sebagai adab dan panduan supaya kenal masyarakat untuk mengetahui di mana sumber ilmu yang diambil.

Tidaklah semestinya ahli agama seperti ustaz, ustazah dan syeikh hanya bergerak di sekolah pondok, madrasah, sekolah agama, universiti agama, masjid atau surau dan ahli-ahli ilmu dunia seperti doktor hanya di klinik atau hospital, ahli kimia dan biologi hanya di makmal dan ahli perakaunan dan perniagaan hanya di pejabat sahaja. Ahli agama juga boleh bergerak di dalam makmal, pejabat, klinik atau hospital dan doktor, ahli kimia dan biologi juga boleh bergerak di sekolah pondok, madarasah, sekolah agama, universiti agama, masjid atau surau. Jenis pekerjaan tidaklah menghalang seseorang untuk bergerak dalam melaksanakan tanggungngjawabnya di tempat-tempat tertentu, malah boleh sahaja untuk bergerak ke mana-mana asalkan Islam itu tertegak tetapi ketahuilah akan kalian bahawa itu hanyalah pusat sahaja untuk menjadi sumber utama dalam pekerjaan tersebut.

Apabila mempunyai masalah yang berhadapan dengan ilmu al-Quran, maka tanyalah kepada ahli yang mahir dalam al-Quranm jika mempunyai kecelaruan dalam ilmu fiqh, maka tanyalah ahli fiqh yang mengetahui permasalahan tersebut, jika mempunyai kekeliruan dalam bidang kimia, maka tanyakanlah kepada ahli yang pakar dalam kimia, jika mempunyai permasalahan di dalam astronomi, maka tanyalah ahli astronomi dan begitulah seterusnya. Bertanyalah jika kalian tidak mengetahui dan mencari-cari jawapan yang pasti serta membetulkan kecelaruan yang bermain di benak fikiranmu.

Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah an-Nahl (16) ayat 43, فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ, maksudnya "Bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui jika kamu tidak mengetahui".
Bertanyalah yang sesuai dengan ahlinya. Tidak semua mempunyai kelebihan dalam menguasai pelbagai cabang-cabang ilmu. Sebab inilah sewajarnya bertanya mereka yang benar-benar ahli dalam ilmu tersebut agar ilmu yang diperolehi tersebut tidak bercelaru.

Cuma apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan masyarakat dalam bertanyakan kepada yang bukan ahlinya. Permasalahan cabang ilmu fiqh ditujukan pertanyaan kepada doktor dan permasalahan ilmu astronomi ditanyakan kepada guru-guru agama seperti ustaz, syeikh, baba, kiyai dan sebagainya. Bukanlah secara mutlak tidak boleh bertanya, tetapi sewajarnya bertanyalah kepada mereka yang benar-benar mahir dalam ilmu tersebut dan mampu mejawab pertanyaan tersebut dengan jawapan yang dipercayai serta tepat yang telah dipandukan oleh mereka yang ahli. Bertanyakan kepada ahli kemungkinan sahaja akan menimbulkan kesalahfahaman dalam memahami jawapan yang sebenar, penyelewengan di dalam cabang ilmu, fitnah dalam kebenaran ilmu dan berbagai-bagai lagi yang menjejaskan kemurniaan ilmu tersebut.

Biarpun dikatakan ilmu dunia bagi pandangan kalian, maka sepatutnya kalian jika bertanyakan berkaitan dengan persoalan masalah ilmu dunia kepada yang benar-benar ahli dalam ilmu dunia. Tidak dinafikan bahawa ahli-ahli agama menurut perspektif kamu itu tidak akan berbohong dalam menyampaikan ilmu yang dicurahkan kepadamu, tetapi ketahuilah bahawa walaupun mereka ada serba pengetahuan yang sedikit tentang ilmu dunia maka seeloknya jagalah adab bahawa mereka bukan mahir dalam ilmu dunia, tetapi mereka mahir dalam merungkaikan permaslahan agama. Dan jika ahli agama itu mahir dalam sesuatu bidang ilmu dunia, maka tidak salah juga bertanya kepada mereka tentang persoalan cabang ilmu tersebut kerana mereka adalah ahli di dalam bidang tersebut yang mampu menghuraikan beberapa permaslahan yang dikemukakan, begitu juga dengan pakar ilmu dunia yang mengetahui serta memahami selok belok cabang agama, maka tidak salah bertanyakan mereka untuk bertanyakan sesuatu yang berkaitan dengan cabang tersebut.

Namun, baru-baru ini berlakulah suatu penyakit yang merebak di kalangan masyarakat kita apabila berhadapan dengan ilmu dunia ini, iaitu berkata akan mereka barang yang bukan ia ahlinya untuk berbicara dan bukan bidangnya untuk berbahas. Inilah suatu virus yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi terhadap ahli agama yang bodoh sombong merasakan apabila menguasai sahaja ilmu al-Quran dan Hadis serta faham dalam ilmu tafsir dan apa-apa yang berkaitan dengan agama menurut konteks masyarakat kita secara automatik memahami ilmu dunia tanpa perlu belajar terus diberi lesen untuk berbincang ilmu dunia padahal ia bukan ahlinya.

Ketahulah wahai saudaraku! Janganlah hanya beranggapan bahawa ilmu agama sahaja yang tidak boleh berkata-kata jika tidak menguasainya serta bukan ahlinya, namun ilmu dunia juga tiada boleh dibuat sebegitu. Mahir dalam ilmu agama bukanlah lesen untuk mengeluarkan pernyataan berkaitan dengan ilmu dunia secara begitu sahaja tanpa mempelajari atau mendalaminya kalian akan ilmu dunia tersebut. Dikhuatiri jika yang bukan ahli berbicara akan sahaja timbul waham dalam pemahaman ilmu tersebut, syak dalam mencari jawapan yang pasti, menyebabkan penyelewengan di dalam cabang ilmu tersebut, bahkan ia membawa kepada pembohongan sehingga tercampurnya haq dan bathil di dalamnya lalu timbullah bibit-bibit terhadap ilmu kerana berbahas tanpa didasari ilmu pengetahuan! Telah diperingatkan Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah (2) ayat 42, maka ambillah peringatan ini wahai saudaraku agar kalian sekali-kali tidak membuat pendustaan sehingga tercampurnya benar dan bathil :
وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : "Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."

Yang benar kalian bukan ahlinya, yang salah adalah sesuatu perbicaraan yang sepatutnya bukan engkau bicarakan. Engkau sembunyikan yang benar kepada orang lain bahawa engkau bukanlah ahlinya padahal engkau mengetahuinya! Inilah sikap tercela yang dicemuh oleh para ulama' kita kerana ia membawa banyak kemudharatan.

Apabila pertanyaan itu merupakan sesuatu yang engkau bukan ahlinya dan padahal engkau mengetahui bahawa engkau bukanlah ahlinya untuk berbicara tentang itu, namun kerana ego atau menjaga kepentingan diri maka kalian berkatakan sesuatu yang sepatutnya tidak diungkapkan oleh ahli ilmuwan. Inilah yang layak dipanggil seseorang itu bodoh sombong kerana betapa buruknya akhlak mereka dalam berbicara bab ilmu! Tidak seharusnya memandang remeh walaupun ia ilmu dunia menurut pandangan kamu kerana ilmu itu adalah milik Allah SWT semata-mata. Jika tiada mengetahui berkatalah tidak tahu atau jika tiada memahaminya maka berkatalah tiada faham kerana itulah yang akan memelihara kemurniaan ilmu tersebut dari penyelewenangan yang dilakukan oleh orang yang angkuh lagi sombong kerana tidak mahu dirinya hilang maruah dari kemuliaan pandangan manusia. Ini telah diperingatkan oleh Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Isra' (17) ayat 37 :
وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا
Maksudnya : "Jangan kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi, dan tidak akan sampai setinggi gunung"

Sesungguhnya orang yang sombong begitu banyak ancamannya, lebih-lebih lagi sombong terhadap ilmu yang dimiliki, apabila dikuasai oleh sifat sombong dalam ilmu, maka dibuat apa sahaja agar mereka yang lebih tinggi daripadanya jatuh lebih bawah dari mereka dan merosakkan mereka yang cuba menyainginya dan berbuat-buat fasih terhadap pertanyaan mereka yang tiada pengetahuan agar mereka menerima orang itu sebagai tempat rujukan serta bercerita panjang dalam sesuatu permasalahan padahal bukanlah dia ahlinya untuk berbicara tentang itu. Mereka ini tidak lain tidak bukan hanya mengikuti hawa nafsu sebagai teman mereka agar apa sahaja hajat kepentingan diri dapat dicapai.

Maka, golongan seperti inilah hendaklah dijauhi agar umat Islam tidak tertipu dengan kemanisan kata-kata yang berdusta atas nama agama dan berkata-kata yang tidak sepatutnya diungkapkan. Firman Allah SWT di dalam Surah Asy-Syura (42) ayat 15 :
فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ ۖ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ ۖ وَقُلْ آمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ مِن كِتَابٍ ۖ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ ۖ اللَّـهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ ۖ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ ۖ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ ۖ اللَّـهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا ۖ وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ
Maknanya : "Oleh kerana itu, maka serulah mereka dan tetaplah engkau sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka; Katakanlah: Aku beriman kepada Kitab yang Allah turunkan, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagimu amalmu. Tidak ada pertengkaran antara kami dengan kamu. Allah akan himpunkan kita bersama pada hari kiamat, dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya".

Berpura-pura fasih dalam berbahas yang ia sendiri tidak mengetahui disiplin ilmu dan menguasai selok-belok akannya dan memahami prinsip yang terdapat dalam bidang ilmu tersebut walau ia ilmu dunia juga amatlah dicela oleh Allah SWT sepertimana hadis dari Abdullah bin Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah membenci orang yang berlagak fasih dalam bercakap, iaitu orang yang mempermainkan lidahnya sebagaimana lembu yang mempermainkan lidahnya". (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmizi [semoga Allah merahmati mereka berdua] dan beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan)

Dan juga melarangnya berkata dengan sombong sama ada kalain mengatakan sesuatu yang bukan ahlinya atau kalian memang ahlinya sepertiaman hadis dari Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Seseungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukan denganku pada hari kiamat kelak ialah mereka yang paling baik budi pekertinya. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dariku pada hari kiamat kelak ialah mereka yang suka bercakap, mereka yang berlagak fasih dan mereka yang bermulut besar". (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi rahimullahu ta'ala dan beliau mengatakan bahawa hadis ini hadis hasan).

Ambillah peringatan ini wahai saudaraku! Tiadalah ingin aku mencela sesiapa yang patut dipersalahkan dan tiadalah aku mengatakan bahawa diriku ini sempurna untuk berkata yang selayaknya. Akan tetapi aku hanyalah faqir dan hina jika dibandingkan dengan kalian yang memiliki banyak kelebihan berbanding diriku dan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk mencapai tinggi darjatnya. Bahawasanya telah melihat aku sikap masyarakat pada hari ini yang mencela ilmu dunia sehinggakan memperlekehkannya dan memisahkan antara agama dengan ilmu dunia serta ahli-ahli agama yang berbicara ilmu dunia padahal ia mengetahui dia bukanlah ahlinya dan ahli-ahli yang mempelajari ilmu dunia tetapi berbicara tentang agama padahal ia mengetahui yang ia bukan layak untuk berbicara.

Ketahuilah olehmu bahawa teguran ini hanyalah dapat diterima oleh mereka yang berlapang dada untuk menerima teguran, adapun orang-orang yang penuh kekotoran hatinya tidak mahu mendengarnya malah ia akan membalas dengan suatu hentaman yang membawa kejatuhan akan seseorang yang menegurnya. Jagalah adab-adab dalam berhadapan dengan ilmu dan bersihkanlah hati dari segala kekotoran agar kalian selamat dari membuat pembohongan, penyelewengan dan fitnah dalam sesuatu bidang ilmu dan berbicaralah hanya pada bahagian yang kalian ahli!. Wallahua'lam.

Nota : Saya sebenarnya menerima pandangan menolak pembahagian ilmu agama atau masyarakat sepertimana dinyatakan di atas dan menerima ke arah mana pembawakan ilmu tersebut, sama ada untuk kepentingan dunia atau manafaat agama dan akhirat. Saya menggunakan istilah "ilmu dunia" supaya kalian memahami mesej yang ingin saya sampaikan kepada kalian menurut kefahaman masyarakat kita tentang "ilmu dunia" dan "ilmu akhirat".

directly copy paste dari http://marzukamartillo.blogspot.com/2014/07/ilmu-dunia-jangan-berbicara-jika-kau.html

Comments

Popular Posts