Friday, October 24, 2014

MERINDUI KAMPUNG HALAMAN



"(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
Surah At-Taubah 9:20 


Hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah telah mendatangkan hasil yang baik sehingga baginda berjaya menyusun sebuah masyarakat dan negara menurut keredhaan Allah. Baginda selaku Rasul Allah, Kepala Negara Islam dan juga Panglima Tertinggi di Madinah telah mendapat penghargaan dari Allah dan sekalian manusia yang beriman.

Namun, sebagai manusia biasa, bertapa pun kejayaan baginda di Madinah, Mekah sebagai kampung halamannya tetap menjadi ingatan dan kenangan yang segala macam.

Setiap orang dari Mekah yang datang menemui baginda beliau akan bertanya.

"Bagaimana keadaan Mekah sewaktu engkau tinggalkan?" Nabi s.a.w. bertanya kepada Aban.

"Tanaman sedang subur dan mendatangkan hasil yang baik," jawab Aban.

Mendengar cerita Aban, baginda merasakan kerinduannya kepada Mekah sehingga bergenang air di mata baginda.

Aban merasa hairan melihat Nabi mengalirkan air matanya kerana hanya beliau menceritakan tentang tanaman yang menjadi di Mekah.

"Biarkkan hati berada di tempatnya, wahai Aban," demikian Nabi memecahkan kemushkilan Aban. Betapa rasa hati baginda yang selalu ingat ke Mekah, bukan kerana tanaman yang menjadi tetapi lebih dari itu. Lebih jauh ke dalam alam Mekah menjadi tempat kelahirannya.

Jikalau air mata Nabi s.a.w. berlinang dengan hanya mendengar cerita Mekah, maka betapakah pula rasa hatinya di saat baginda akan meninggalkannya dahulu, di tengah-tengah kezaliman dan kesombongan orang-orang Quraisy yang telah menyebabkan baginda berhijrah ke Madinah?

Kampung halaman sering menjadi ingatan, begitu juga Nabi s.a.w., kota Mekah harus ditinggalkan, perintah Allah menyuruh baginda berangkat. Maka tinggallah Mekah. Mekah yang indah tempat bermulanya zaman kanak-kanak baginda. Bukit-bukau sekitar Mekah adalah tempat baginda menghirup udara dan bergembala kambing selalu menjadi ingatannya. Masjidul Haram yang dikelilingi rumah-rumah memberikan pandangan yang sukar dilupa dan menyejukkan hati yang beriman.

Kini Nabi s.a.w. harus meninggalkannya, akan bercerai dengan alam Mekah yang indah. Sebagai manusia, maka saat perpisahan meninggalkan kampung halaman itu sangat memilukan hati. Tetapi perintah hijrah mesti dilaksanakan, manakala Abu bakar Siddik sudah membuat persiapannya dan berangkatlah mereka menuju Madinah.

Nabi dan Abu Bakar mengorak langkah demi langkah meninggalkan kota Mekah di belakang mereka. Nabi s.a.w. sering menoleh ke belakang apalagi ketika kota Mekah akan hilang dari pandanngan baginda. Baginda berasa baginda akan dikejar oleh orang-oeang Quraisy, tetapi Abu Bakar siap sedia menjaganya. Di kota Mekah, golongan Quraisy menjadi kelam-kabut kerana Muhammad bersama Abu Bakar berjaya melepasi kepungan mereka. Rencana mereka akan membunuh Muhammad telah gagal tanpa diduga dan kini mereka berusaha mengejar Muhammad yang masih dalam perjalanan itu.

Melangkahlah Nabi meninggalkan Mekah dengan rasa sedih dan rindu yang mendalam setelah kota Mekah lenyap dari pandangan mata baginda. Tinggallah Mekah dengan kezaliman sebahagian penduduknya; tinggallah Abu Jahal yang sibuk dengan kawan-kawannya yang gagal membunuh Nabi s.a.w.

Kian jauh Mekah di belakang baginda, semakin mendalam rasa kerinduan Nabi. Mereka berjalan sehingga di Jahfah dan kerinduan baginda sampai di puncaknya. Allah Maha Mengetahui. Kerinduan Nabi demikian besar disambut dengan ayat buat penghibur hati yang sedih, mengubat perasaan yang luka.


"Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (mengamal dan menyampaikan ) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): "Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah pertunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata"
(Al Qashash:85)

*******

Huluran kasih sayang Allah yang datang tepat pada waktunya telah dapat menggembirakan perasaan hati Nabi s.a.w. Satu masa yang telah ditetapkan Allah, baginda akan kembali memijakkan kakinya di bumi Mekah itu.

Allah memang menepati janjinya.

Benarlah demikian kesudahannya apabila peristiwa Al-Fath telah mengembalikan baginda masuk ke Mekah dengan jiwa iman yang dapat mengendalikan hati.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. (Surat Al-Fath:1)

******

Hidup ini memang tidak lepas dari kenangan masa lalu dan harapan masa mendatang. Masa yang berlalu itu mengembalikan ingatan kepada zaman kanak-kanak dari tempat lahir dan bermain merupakan alam yang penuh dengan jalinan kenangan. Nabi s.a.w. sebagai manusia juga tidak terkecuali merasakan kerinduan kampung halaman dan kenangan zaman kecil walau apapun kedudukan kehidupannya di Madinah.

Begitu juga kita semua, bila ada suatu kesempatan akan kembali ke kampung halaman mengingatkan kenangan alam di sekelilingnya yang pernah dilalui dari zaman bermula untuk mengenal kehidupan ini. makin lama dikenangkan, makin jauh hati dapat melihatkan dan makin mendalam hati itu berkata-kata sedangkan kampung halaman itu terus berubah-ubah menurut zaman dan perkembangannya. Bagitu juga dengan manusia yang silih berganti.

Demikian juga Nabi s.a.w. dalam merindui kampung halamannya di kota Mekah.

No comments:

Qasyira Noristiqa

Zaman baru nak up dulu, antara band yang cuba dibuat adalah Qasyira Noristiqa yang berpusatkan vibe ekspresi lirik dari Enal dengan susunan ...