Wednesday, July 22, 2015

2087

KUALA LUMPUR: Tanda tanya ke mana perginya kapsul masa yang ditanam oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed di bangunan The Mall Kuala Lumpur pada tahun 1987 mula tersebar.

Pada 12 Jun 1987, sewaktu merasmikan bangunan pusat membeli-belah tersebut, beliau telah menanam sebuah kapsul masa yang dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2087 iaitu 100 tahun akan datang.

Kapsul itu memuatkan coretan serta pesanan mantan perdana menteri itu buat generasi akan datang.

Namun, pusat beli-belah itu tidak bertahan selama yang diharapkan. Selepas 26 tahun beroperasi, The Mall berpindah milik kepada kumpulan syarikat Sunway Berhad berkuatkuasa 1 Mei 2013.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan mula dijalankan sejurus termeterai perpindahan milik tersebut.

Pada 28 Mei 2015, Sunway Putra Mall mula diperkenalkan kepada orang ramai.

Hampir tiga dekad berlalu, mungkin ramai yang sudah melupakan kapsul masa tersebut serta persoalan apakah mesej yang terkandung di dalamnya.

Menurut jurucakap pengurusan Sunway Putra Mall, kapsul itu kini selamat tersimpan di pejabat Pengurus Besar bangunan tersebut, lapor portal Berita Daily.

“Kami sedar ia adalah sebahagian daripada sejarah The Mall selain kini bergelar barangan bersejarah. Banyak pihak termasuklah diri saya masih teruja semasa ia mula-mula ditanam dahulu. Pihak kami akan menjaga dan terus memelihara kapsul itu,” ujar jurucakap kumpulan berkenaan.

Daripada perspektif undang-undang dan teknikal, kapsul masa itu kini menjadi hak milik Sunway Putra Mall.

Jurucakap itu turut menambah, pengurusan Sunway Putra Mall tidak mempunyai perancangan untuk mendedahkan kapsul masa itu mahupun kandungannya kepada awam buat masa ini.

Namun begitu, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa mesej Tun Mahathir akan tetap disampaikan kepada generasi akan datang menjelang tahun 2087.

Permintaan portal berita itu untuk merakamkan gambar kapsul masa tersebut dan mengetahui lokasinya turut ditolak pihak pengurusan.

Khabarnya terdapat tiga kapsul masa yang ditanam para pemimpin negara 28 tahun dahulu. Selain kapsul masa Tun Mahathir, dua yang lainnya dimuatkan mesej oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada ketika itu Menteri Pendidikan Malaysia) dan Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan).

Kedua-duanya ditanam sekitar Bursa Malaysia.

Mahathir juga telah menanam satu lagi kapsul masa di dasar Monumen Millenium di Putrajaya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri.

Mesej di dalam kapsul masa itu akan didedahkan kepada umum pada tahun 2020.

No comments:

Qasyira Noristiqa

Zaman baru nak up dulu, antara band yang cuba dibuat adalah Qasyira Noristiqa yang berpusatkan vibe ekspresi lirik dari Enal dengan susunan ...